Friday, February 19, 2010

Kem Motivasi 2010



Murid-murid tengah berdoa.

Semua murid Tahun 5 dan 6 khusyuk mendengar
ceramah daripada Ustaz Mizan.

Sedapnya nasi lauk ayam..

Barisan tetamu yang hadir.



Kem Motivasi ini tamat pada jam 11.30 malam. Malam itu, ibu bapa

dijemput hadir untuk sembahyang hajat.



Wednesday, January 20, 2010

( Sedang membersihkan kawasan sekolah )



( Bangunan sekolah pada tahun 1927 )

Sejarah SK Duyong

( SK Duyong pada tahun 1957 )


SEJARAH DAN PERKEMBANGAN
SEKOLAH KEBANGSAAN DUYONG
KUALA TERENGGANU



“Asas Dan Permulaan”

Kesedaran dan kepeluan pelajaran telah timbul di kalangan penduduk-penduduk di Duyong ini sejak tahun 20-an lagi.

Dengan kesedaran inilah; sebelum kerajaan mengadakan bangunan “Sekolah Kerajaan”, sebuah Sekolah Persendirian (Private School) telah diadakan di Kampung Duyong Kecil. Pengasanya terdiri dari keluaraga Allah Yarham Datuk Bentera Guru dan keluarga Allah Yarham Datuk Kamal Wangsa, antara lainnya ialah Wan Long Bin Haji Wan Embong dan Haji Wan Ngah Bin Haji Md. Salleh, Wan Nawang Bin Haji Wan Embong dan Haji Wan Ngah Bin Datuk Kamal seta beberapa orang lain lagi.


Guru yang mula-mula mengajar di “Sekolah Persendirian” ini ialah Encik Yusof (Datuk Aria Pura). Setelah Datuk Encik Yusof berjawatan Kerajaan, “Sekolah Persendirian” ini ditutup. Dan murid-muridnya berpindah ke Sekolah Melayu Kampung Banggol yang dibuka pada tahun 1917.

Setelah Kerajaan membangunkan Sekolah Melayu Bukit Jambul pada tahun 1921, maka Sekolah Melayu Kampung Banggol pun ditutup. Murid-muridnya berpindah ke Sekolah Melayu Bukit Jambul.


Bilangan murid-murid dari Duyong ini yang bersekolah makin bertambah dari tahun demi tahun. Ketika ini timbul kesulitan susah hendak berulang-alik ke Sekolah Melayu Bukit Jambul kerana menyeberang sungai dengan menggunakan sampan atau perahu. Ketika itu, timbullah desakan atau permohonan dari penduduk di Duyong ini supaya kerajaan mengadakan sebuah sekolah di Duyong ini.


Berkat kerjasama mereka yang
mempunyai kesedaran nilai pelajaran, di Duyong ketika itu akhirnya cita-citanya terlaksana dan kerajaan mulailah membangunkan sebuah Sekolah Melayu di Duyong ini, yang terletak di atas sekeping tanah seluas 0.987 ekar di Duyong Besar.

Babak permulaan sejarah dan perkembangan pelajaran di Duyong ini tercipta; pada jam 7.00 pagi 23hb Mei,1926 bersamaan 12 Dzulkaedah, 1344 sebuah bangunan 20×50 kaki yang tersergam indah dirasmikan dengan penuh istiadat keugamaan.Yang Berbahagia Haji Wan Dagang Timbalan Nadir Sekolah Terengganu melakukan upacara parasmian ini.Kemudiaanya diikuti oleh 6 ulama serta diakhir dengan doa selamat.


Istiadat yang gilang gemilang ini, adalah permulaan sejarah permulaan sejarah perkembangan di sini,disaksikan oleh penduduk-panduduk di Duyong dengan perasaan penuh harapan memohan kehadrat Ilahi supaya Sekolah ini sentiasa diberkati dan mengeluarkan murid-murid yang berguna kepada bangsa,tanah air dan agama.

Seramai 39 orang murid permulaan telah turut sama hadir pada hari istiadat pembukaan rasmi ini.

Guru Besar yang pertama ialah Encik Sulong bin Md. Amin (Datuk Senara Muda.)


( SK Duyong pada tahun 2010 )


BANGUNAN

Bangunan yang didirikan pada tahun 1926 panjangnya 50×20 kaki,kemudian pada tahun 1938 ditambah (sambung) menjadi 70×20 kaki.Bangunan ini masih kekal dan digunakan hingga sekarang.

Tahun 1956 ditambah 2 buah bangunan lagi,tiap-tiap satu panjangnya 60×22½ kaki,kesemuanya berjumlah 4 bilik darjah.

Tahun 1969 dibangunkan sebuah bangunan lagi panjangnya 110×30 kaki yang mengandungi 3 bilik darjah 1 pejabat dan 1 setor.Di tahun yang sama juga dibangunkan sebuah Kantin.

Jumlah bilik darjah yang ada sekarang 8 bilik dan sebuah bilik untuk “Pusat Bahan-bahan” dijadikan bilik perpustakaan dan siaran TV/Radio pendidikan.

JUMAAH PENASIHAT/LEMBAGA PENGURUS

Bagi mencapai objektif kerjasama dari ibubapa dan orang kampung untuk memajukan perjalanan sekolah ini sebuah Badan diberi nama “Jumaah Penasihat” mulai ditubuhkan pada tahun 1953.

Haji Wan Yaakub Bin Haji Wan Embong (Allah Yarham) dipilih mengetuai Jumaah Penasihat ini, di bawah pimpinan beliau ahli-ahli Jumaah Penasihat ini telah memberi khidmatnya yang baik.

Dari mulai ditubuhi Badan Jumaah Penasihat ini bergerak secara persendirian hingga ke tahun 1958. Apabila Kerajaan mengadakan Akta Pelajaran “Tata-tertib Urusan Sekolah 1959”, Badan Penasihat ini dibubar dan diganti dengan Jumaah Pengurus, ahli-ahlinya terdiri dari wakil Kerajaan dan ibubapa.

Haji Wan Yaakub Bin Haji Wan Embong sekali lagi dipilih menjadi Pengerusi Jumaah Pengurus yang ditubuh pada tahun 1959 itu.

Sepanjang hayatnya Haji Wan Yaakub telah memberi khidmat bakti yang sungguh dedikasi, bagi meninggi mutu pencapaian pelajaran dan kerjasama ibubapa di sekolah ini.

Setelah beliau meninggal dunia, Jawatan Pengerusi Jumaah Pengurus Sekolah ini diambil alih oleh Wan Ngah Bin Long hingga sekarang.

KAWASAN

Pada mula sekolah ini dibangunkan kawasannya seluas 0.987 ekar, pada tahun 1969 ditambah 0.500 ekar dan tahun 1975 ditambah lagi 2.606 ekar. Jumlah keluasan kawasan sekolah sekarang 4.193 ekar.


Tuesday, January 19, 2010

Sekolah Kebangsaan Duyong

KERAMAIAN MURID SK DUYONG

Pada tahun 1934, seramai 5 orang murid perempuan yang mula-mula masuk belajar di sekolah ini.

Mulai tarikh tersebut, penyertaan murid-murid perempuan telah bertambah dari tahun demi tahun. Tetapi bilangan yang agak ramai sekali murid-murid perempuan di sekolah ialah sejak tahun 1944 hinggalah hari ini keramaian murid lelaki dengan perempuan hampir sama banyak.

Dengan bermula kemasukan murid-murid perempuan itu bererti satu babak baru bertambah dalam pelajaran di sekolah ini.




SUKAN

Dari sejak sekolah ini dibuka,walaupun keadaan untuk melatih segala kegiatan sukan tiada terdapat di sekolah ini, namun semangat kesukanan telah disemai dan diusahakan juga dalam keadaan serba kekurangan itu. Dari permulaan hinggalah sekarang sekolah ini tiada padang permainan dan kawasan sekolahnya sempit. Tetapi rekod-rekod dalam aktiviti sukan tidak ketinggalan juga dengan sekolah-sekolah lain. Pada tahun 1938 sekolah ini berjaya menjadi johan senaman seluruh negeri Terengganu.


Bagaimana yang dinyatakan semangat kesukanan disanubari penduduk-penduduk Duyong ini tela begitu mendalam, dan mereka sentiasa memberi sokongan apabila sekolah ini menghadapi sesuatu acara perlawanan, baik secara persahabatan ataupun pertandingan piala pusingan.

Cuma yang menjadi masalahnya, tiada tempat berlatih, murid-muridnya hanya dapat berlatih atas pasir di tepi sungai, ini pun kalau air surut atau di tanah-tanah lapang dalam kawasan sekolah yang luasnya lebih kurang 35×60 kaki. Kadangkala tempat ini juga ditenggelami bila air pasang. Di tanah lapang inilah juga dijadikan tempat sukan tahunan, keramaian, perbarisan dan lain-lain kegiatan luar darjah.

Usaha untuk mendapat atau meluas kawasan sekolah telah berjaya pada tahun 1975 di tambah kawasan 2 setengah ekar. Kini bloehlah dikatakan ada tempat lapang, tapi bukan padang permainan yang benar-benar dikatakan padang, tanahnya masih rendah boleh ditenggelami air pasang atau banjir.

Dalam segala perlawanan acara sukan yang diatur oleh Jabatan Pelajaran atau Majlis Sukan Sekolah-Sekolah, pada tiap-tiap tahun sekolah ini tidak ketinggalan dan menyertai sama. Kebolehan murid-murid dalam tiap-tiap perlawanan itu tidaklah terkebelakang berbanding dengan sekolah lain yang mempunyai cukup padang permainannya. Pada tahun 1964, sekolah ini berjaya menjadi johan Negeri Bola Sepak antara sekolah-sekolah rendah dalam negeri ini.

Manakala pada tahun 1973 pula, sekolah ini berjaya menjadi johan Hoki Perempuan bagi Daerah Kuala Terengganu Selatan. Dan pada tahun berikutnya, 1974, pasukan Hoki Perempuan telah maju selangkah lagi dapat menyandang "Johan Negeri".

Sepintas lalu memandangkan dengan semangat kesukanan dari dulu hingga sekarang, amatlah mustahak di sekolah ini mempunyai sebuah padang yang agak baik sedikit untuk memupuk dan melatih bakat kesukanan yang sedia ada pada murid-murid sekolah ini dan juga dikalangan belia serta beliawanis di Duyong ini.

Muzium Negeri Terengganu


MUZIUM TERENGGANU

Muzium Terengganu telah dirasmikan pada 20 April 1996 bersamaan 2 Zulhijjah 1416 oleh Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu. Meliputi kawasan seluas 27 hektar, kompleks ini mempunyai keluasan lantai keseluruhan berjumlah 75,075 meter persegi. Terdiri dari 4 blok bangunan Muzium Utama, kompleks ini juga mempunyai Muzium Maritim, 5 buah rumah tradisional serta kawasan landskap. Antara galeri yang terdapat di bangunan utama ialah Galeri Islam, Galeri Tekstil, Galeri DiRaja, Galeri Sejarah, Galeri Kraf, Galeri Petroleum, Galeri Ilmu Kejadian. Di Muzium Maritim pula terdapat 2 Galeri iaitu Galeri Perikanan dan Taman Laut serta Galeri Pelayaran dan Perdagangan.

GALERI ILMU KEJADIAN

Galeri ini memaparkan pelbagai jenis sumber alam yang terdiri dari fauna, flora, batu batan dan galian terdapat di Terengganu serta kepentingannya dengan kehidupan manusia.

GALERI SEJARAH

Tamadun manusia bermula di sini, perkembangannya dari zaman prasejarah, zaman logam hingga ke zaman proto sejarah. Pelbagai peristiwa digambarkan. Tokoh-tokoh terbilang turut dipamerkan bersama dengan perkembangan dan kemajuan negeri Terengganu. Jangan lepaskan peluang untuk melawat galeri ini.

GALERI TEKSTIL

Galeri ini memaparkan sejarah, proses penghasilan perkembangan serta jenis-jenis rekstil yang bdihasilkan seperti Songket, Limar, Batik, Pelangi, Cindai, Gerus dan Telepuk. Pelbagai jenis busana tradisional juga dipamerkan, termasuk pakaian harian dan upacara seperti perkahwinan, berkhatan dan banyak lagi.

GALERI PETROLEUM

Industri petroleum merupakan sumber ekonomi negeri yang penting. Dengan melawat galeri ini, anda diberi peluang menerokai dan mempelajari tentang sejarah dan perkembangan industri minyak di Malaysia yang dipaparkan dengan begitu menarik sekali.


GALERI KRAF

Tempat yang sungguh begitu menarik untuk menghayati kehalusan kerja dan kesenian teknologi tradisional yang menghasilkan pelbagai barangan kraftangan. Keindahan tikar yang dianyam, barangan tembaga, emas dan perak tentunya memikat perhatian anda. Saksikan juga keunikan senjata tradisional seperti Keris, Lawi Ayam, Kuku Harimau, Sundang yang mencerminkan kemahiran dan kehebatan tukang besi zaman dahulu. Senjata-senjata ini digunakan untuk mempertahankan diri, sebagai lambang kebesaran dan keagungan.

GALERI PERIKANAN & TAMAN LAUT

Di galeri ini, anda dapat menikmati suasana nyaman dan merasa ketenteraman sebuah perkampungan nelayan disamping dapat melihat berbagai-bagai jenis peralatan menangkap ikan dan perahu-perahu yang digunakan oleh penduduk di Terengganu.

GALERI PELAYARAN & PERDAGANGAN

Dengan layar-layarnya dikembangkan, perahu-perahu besar bergerak laju ditiup angin merentasi lautan, seterusnya membuka jalan-jalan dagangan dan perniagaan baru di antara negara-negara. Adalah sungguh mengkagumkan melihat perahu-perahu besar ini yang dibina sepenuhnya dengan tangan dan menggunakan teknologi tradisional. Dipamerkan juga pelbagai peralatan tradisional yang digunakan untuk membina sesebuah perahu.

GALERI ISLAM

Penemuan Batu Bersurat Terengganu menjadi bukti penyebaran Islam dan bermulanya tulisan Jawi di nusantara. Banyak lagi artifak-artifak Islam yang dipamerkan untuk diterokai.

GALERI DIRAJA

Turut dipamerkan bersama dengan alat-alat kebesaran DiRaja, Bekas Bara, Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Kebesaran dari dalam dan luar negara.

SEJARAH RINGKAS MUZIUM NEGERI TERENGGANU

Muzium Negeri Terengganu telah ditubuhkan pada tahun 1976 di bawah Enakmen Bil. Tahun 1976. Penubuhan ini telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada 28 Disember 1976 dan mula berkuatkuasa pada 1 November 1977.

Daripada segi rentetan sejarahnya, hasrat dan cita-cita untuk menubuhkan Muzium Negeri ini tercetus sejak awal tahun 1920 an lagi natijah daripada peristiwa perjumpaan Batu Bersurat Terengganu di Kampung Buloh, Hulu Terengganu oleh Syed Hussein Ghulam Al Bukhari pada tahun 1902. Peristiwa penemuan Batu Bersurat yang bersejarah ini telah melahirkan rasa kegembiraan dan rasa kesyukuran seluruh rakyat Negeri Terengganu pada waktu itu. Namun, masalah timbul kerana ketidaan tempat untuk menyimpan batu bersejarah ini. Keadaan ini telah mencabar dan menyedarkan pimpinan negeri ketika itu betapa pentingnya negeri ini mempunyai muzium sendiri.

Ekoran daripada itu, Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah tiada pilihan selain memperkenankan Batu Bersurat itu dibawa ke Singapura untuk disimpan dan dipamerkan di Muzium Gambar Raffles pada tahun 1923. Menteri Besar Terengganu pada masa itu Dato’ Haji Mohd bin Yusof telah bersetuju dengan srat jawapan daripada Penasihat British yang berbunyi:

”Maka apakala diadakan Muzium di dalam Terengganu kelak ataupun tempat lain yang munasabah bolehlah kerajaan mengambil balik pula pada bila-bila masa yang dikehendaki adanya.”

Berikutan itu, kesedaran serta semangat untuk mempunyai Muzium sendiri semakin memuncak. Pada tahun 1955, Y.A.B. Dato’Menteri Besar, Dato’ Haji Kamaruddin bin Haji Idris (Menteri Besar Terengganu ketika itu), telah menubuhkan satu jawatankuasa serta membayangkan hasrat untuk mewujudkan Muzium di negeri Terengganu. Jawatankuasa ini telah dianggotai oleh Y.B.M. Engku Pengiran Anom, Haji Mohd. Salleh bin Haji Awang, Cikgu Muhamad Akil bin Atan serta Haji Wan Endut bin Othman. Peranan utama jawatankuasa ini ialah untuk mengumpul dan memperolehi barang-barang lama dan bersejarah. Namun begitu, perjalanan jawatankuasa ini terbantut kerana masalah kewangan dan perutukan undang-undang.

Kesinambungan daripada itu, pada 14 Januari 1960, Y.B. Dato’ Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Andika Indera, Encik Ishak bin Mohd Isa telah membuat satu perjumpaan dan hasilnya, satu persetujuan dicapai sebulat suara untuk menubuhkan satu jawatankuasa yang dikenali dengan nama Jawatankuasa Barang Lama dan Sejarah Peringkat Negeri. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Y.B. Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, manakala Allahyarham Dato’ Setia Jasa (Dato’ Haji Mohd. Salleh bin Haji Awang) berperanan sebagai setiausaha. Serentak dengan itu, satu peruntukan telah diwujudkan di bawah kelolaan Jabatan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk membeli barang dan koleksi warisan sejarah serta budaya negeri Terengganu. Kerja-kerja pengumpulan barang dan koleksi mula digiatkan mulai Julai 1960 dan ianya telah ditempatkan di dalam sebuah almari di satu sudut khas Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Jalan Cherung Lanjut, Kuala Terengganu.

Perkembangan yang positif ini telah mengorak langkah yang lebih luas lagi dan hasrat untuk mempunyai Muzium sendiri semakin mendapat perhatian dan sokongan Kerajaan Negeri. Pada 3 Februari 1974, sebuah jawatankuasa untuk menguruskan hal ehwal yang berkaitan dengan penubuhan Muzium Negeri telah dibentuk. Jawatankuasa ini telah dipengerusikan oleh Y.B. Dato’ Wira Jaya, Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu pada waktu itu. Dengan pembentukan jawatankuasa ini, hasrat untuk menubuhkan Muzium Negeri mula menampakkan bibit-bibit kejayaan khususnya apabila termaktubnya Enakmen Lembaga Muzium Negeri Terengganu (Enakmen Bil. 9/1976).

Pentadbiran Muzium Negeri terletak di bawah kuasa Bahagian Pentadbiran, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu. Pada tahun 1979, kerja-kerja pengumpulan dan perolehan barang-barang lama dan bersejarah diteruskan dengan lebih giat. Operasi dan fungsi muzium terus diperluaskan. Pada waktu itu, dua orang tokoh yang memainkan peranan yang penting di dalam mengemudi perkembangan dan kemajuan Muzium Negeri ialah Allahyarham Dato’ Setia Jasa (Dato’ Haji Mohd. Salleh bin Awang) dan Tuan Haji Othman bin Haji Ali. Kerja-kerja penyelidikan, galicari dan pemuliharaan bangunan lama yang bersejarah telahpun dimulakan.

Era tahun 1980 an telah meningkatkan lagi perkembangan Muzium Negeri. Pada tahun 1981, seorang kurator telah dilantik untuk menerajui Muzium Negeri. Manakala menjelang tahun 1985, jawatan ini telah ditingkatkan kepada jawatan Pengarah.

Pada bulan April 1994, sekali lagi berlaku perubahan yang menarik di dalam Muzium Negeri. Ini kerana segala urusan pentadbiran, pengurusan dan pameran telah berpindah ke rumah baru iaitu Kompleks Muzium Negeri Terengganu yang terletak di kawasan seluas 27 hektar di Kg. Bukit Losong, Paloh, Kuala Terengganu.

Pulau Perhentian


PULAU PERHENTIAN
PANTAINYA PUTIH LAUTNYA BIRU


Suatu waktu dahulu ia hanya dikenali sebagai tempat persinggahan dan perlindungan bagi nelayan ketika rebut, tetapi hari ini ia muncul sebagai salah sebuah pulau pelancongan yang tercantik di negara ini. Itulah Pulau Perhentian-pulau damai yang masih terpelihara keindahan semulajadinya.

Pulau ini terletak kira-kira 20km dari pantai Besut, Terengganu. Perjalanan dari Kuala Besut ke pulau ini mengambil masa kira-kira 1 jam 45 minit. Pulau ini terbahagi kepada dua-Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar atau lebih dikenali sebagai Pulau Perhentian sahaja. Kedua-dua pulau ini dipisahkan oleh selat kecil selebar setengah kilometer. Pulau Perhentian Kecil merupakan perkampungan nelayan yang lengkap dengan pelbagai kemudahan asasnya.

Deretan pohon kelapa, pantai berpasir putih dan laut biru yang tenang, dapat menambat hati setiap pengunjung dan pencinta alam yang datang ke sini. Pulau Perhentian diindahkan dengan pantainya yang berteluk cetek dan berbatu cantik, sesuai untuk mandi-manda. Di sepanjang pantai dapat melihat pelbagai jenis dan bentuk batu karang serta moluska laut seperti siput, tiram dan tumbuhan laut yang jarang ditemui di pantai-pantai biasa. Bagaimanapun, pengunjung-pengunjung dilarang keras memungut sebarang jenis hidupan laut ini, kerana pulau ini dilindungi di bawah Jabatan Perikanan dan Kementerian Alam Sekitar.

Bagi anda yang minat memancing boleh memancing di sepanjang pantai dan teluk di pulau ini. Jika anda bercadang mengelilingi pulau sambil memancing, bot boleh disewa dengan kadar RM20-RM50 bagi satu kumpulan berjumlah antara 5 hingga 20 orang.

Kalaulah ditakdirkan bekalan makanan anda bawa habis, usahlah bimbang. Di sini terdapat beberapa buah restoran mini. Makanan lautnya pelbagai, segar dan harganya sederhana.

Anda juga mungkin berpeluang menikmati pengalaman ke laut bersama-sama dengan nelayan yang singgah di situ. Jika bernasib baik dan tepat pada musimnya, anda berpeluang melihat penyu bertelur di pantai pulau ini.

Jika anda bercadang berkunjung atau bercuti ke pulau ini, bolehlah menghubungu Pejabat Daerah Besut untuk urusan bot dan pengangkutan dan tempahan chalet.

Chalet-chalet itu mempunyai bekalan air dan elektrik di samping peralatan dapur untuk kemudahan mereka yang bercadang bermalam. Kadar sewanya sederhana antara RM10 hingga RM20 satu hari. Anda juga boleh berkhemah (camping) di sepanjang pantai pulau ini.

OLEH ROZAMAN ISMAIL RAMONAS

SEJARAH PULAU PERHENTIAN
Pembukaan dan Penempatan Awal di Pulau Perhentian


Pulau Perhentian mula didiami pada penghujung abad ke 18. Tempat yang mula-mula dibuka dan didiami ialah Teluk Dalam, di sekitar sebatang alur air payau yang cetek yang dikenali sebagai Alur Cina. Orang yang paling awal mendudukinya ialah Batin Mina dan keluarganya. Beliaulah orang yang bertanggungjawab menjadikan Pulau Perhentian sebagai satu petempatan.

Asal Penduduk Pulau Perhentian
Orang yang pertama menduduki Pulau Perhentian dipercayai berasal dari Kepulauan Riau, iaitu jajahan takluk Johor-Riau pada masa itu. Batin Mina dan keluarganya datang ke Pulau Perhentian dengan menumpang kapal-kapal dagang China yang berulang alik dari China ke Asia Tenggara. Beliau telah melarikan diri dari buruan Belanda kerana telah bertindak menentang penjajahan dengan cara merompak dan mengugut kapal-kapal dagang barat. Keturunan beliaulah yang terus mendiami Pulau Perhentian serta beberapa keluarga yang berasal dari Tanah Besar Semenanjung.


Bagaimana Pulau Perhentian Mendapat Nama

Pulau ini pada awalnya tidak mempunyai nama yang khusus. Ianya dijadikan tempat persinggahan bagi kapal-kapal dagang yang berulang alik dari China ke Asia Tenggara seperti Singapura, Jawa dan beberapa tempat di Semenanjung Tanah Melayu. Di pulau ini juga dijadikan tempat persinggahan kapal-kapal garam dari Singgora (Selatan Thai), untuk menghantar garam ke Kuala Terengganu. Oleh kerana pulau ini sering dijadikan tempat persinggahan bagi kapal-kapal yang dalam pelayaran, ianya telah dinamakan sebagai Pulau Perhentian. Iaitu pulau tempat kapal-kapal singgah atau berhenti seketika sebelum meneruskan pelayaran. Sehingga sekarang pulau ini masih lagi dijadikan tempat berlindung bagi kapal-kapal dari angin kencang dan ombak besar.


Pentadbiran Pulau Dan Hubungan Dengan Pemerintah Negeri


Pulau Perhentian pada masa dahulu ditadbir oleh seorang ketua yang dikenali dengan panggilan Batin. Beliaulah orang yang bertanggungjawab terhadap kebajikan dan keselamatan orang-orang di bawah kawalannya. Batin pada masa itu adalah merupakan seorang pendekar yang terbilang dan juga seorang bomoh yang handal serta mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi.
Batin Mina merupakan orang yang pertama menduduki dan mentadbir Pulau Perhentian. Pada zamannya teraju pentadbirannya terletak di Teluk Dalam iaitu Pulau Perhentian Besar. Pentadbirannya dibantu oleh seorang panglima yang dikenali sebagai Panglima Dayak. Batin dengan dibantu oleh panglimanya yang bertanggungjawab bagi memastikan keamanan dan kestabilan persekitaran pulau.
Selepas kematian Batin Mina, teraju pemerintahan pulau diambil alih pula oleh adiknya iaitu Batin Jamal. Tidak lama selepas kematian Batin Mina, mereka yang tinggal di perkampungan Teluk Dalam Pulau Perhentian Besar sudah tidak tenteram lagi. Keadaan ini terjadi kerana adanya gangguan dari makhluk-makhluk halus, yang dikatakan sebelumnya dapat dikawal oleh Batin Mina. Keadaan menjadi bertambah buruk lagi apabila tanaman tidak menjadi kerana dirosakkan oleh lutong (sejenis monyet) dan tikus. Oleh kerana keadaan sudah tidak terkawal lagi, Batin Jamal pentadbir pulau pada masa itu mengambil keputusan untuk berpindah.
Batin Jamal dan semua penduduk Pulau Perhentian pada masa itu telah berpindah ke Negeri Sanyanya dan membuka penempatan di situ. Negeri Sanyanya ialah Kuala Besut sekarang ini. Di Negeri Sanyanya (Kuala Besut), Batin Jamal membuka perkampungan baru. Setelah tinggal beberapa lama di Negeri Sanyanya (Kuala Besut), Batin Jamal dan orang-orangnya teringin untuk kembali ke Pulau Perhentian. Setelah mengadakan perbincangan dengan semua orang-orangnya, Batin Jamal mengambil keputusan untuk kembali ke Pulau Perhentian. Sekembalinya dari Negeri Sanyanya (Kuala Besut), mereka tidak lagi tinggal di Teluk Dalam tetapi menduduki Pasir Hantu (penempatan sekarang) di Pulau Perhentian Kecil.
Selepas kematian Batin Jamal, pentadbiran Pulau Perhentian diambil alih pula oleh Batin Deris. Pentadbiran Batin Deris dibantu oleh seorang panglima yang dikenali sebagai Panglima Ebet. Batin Deris dan panglimanya bertanggungjawab terhadap soal-soal kebajikan dan keselamatan orang-orangnya. Selepas kematian Batin Deris, warisan kebatinan diambil alih pula oleh Batin Saman, selepas kematian Batin Saman ianya diambil alih pula oleh Batin Yahya. Kemudian, selepas Batin Yahya meninggal dunia ianya diteruskan pula oleh Batin Talib dengan dibantu oleh panglimanyayang bergelar Panglima Kecik atau dikenali juga dengan panggilan Tok Deramat. Pada zaman Batin Taliblah, penduduk Pulau Perhentian dapat disatukan di satu tempat iaitu penempatan sekarang ini. Batin Talib telah berjaya mengumpulkan semua penduduk Pulau Perhentian di satu kawasan penempatan di sekitar awal abad ke 20. Selepas Batin Talib meninggal dunia, pentadbiran Pulau Perhentian diteruskan lagi oleh Batin Sidek. Batin Sidek merupakan batin yang terakhir sekali dalam warisan kebatinan yang mentadbir Pulau Perhentian. Beliau meninggal dunia pada awal tahun 1990. Selepas kematiannya tidak ada lagi warisan kebatinan yang menjadi ketua penduduk Pulau Perhentian. Ianya telah diganti dengan seorang Ketua Kampung.

Batin Pulau Perhentian mempunyai hubungan istimewa dengan pemerintah negeri iaitu Baginda Al-Sultan Terengganu. Kisah perhubungan ini dikatakan bermula pada zaman Batin Mina lagi sehinggalah kepada batin-batin selepasnya. Hubungan dikatakan bermula apabila Batin Mina berkeupayaan mengubat penyakit yang dihidapi oleh baginda Sultan Terengganu.

Mengikut cerita, pada zaman pemerintahan ayahanda kepada Sultan Sulaiman telah terjalin hubungan antara Batin Mina dengan baginda Al-Sultan Terengganu yang memerintah. Sejarah hubungan istimewa dikatakan bermula apabila Almarhum Sultan yang memerintah ketika itu ingin menduga kepandaian dan kehandalan bomoh dalam negeri dan jajahan takluk baginda. Cara baginda menguji kepandaian bomoh ialah baginda pura-pura sakit.
Apabila baginda sakit seluruh negeri dikhabarkan berita itu. Semua bomoh-bomoh dan dukun-dukun yang handal dipanggil untuk mengubati baginda. Walaupun semua bomoh-bomoh dan dukun-dukun yang handal datang mengubati baginda namun penyakit baginda tidak juga sembuh. Semua bomoh dan dukun yang datang tidak tahu penyakit yang dihidapi oleh baginda.
Berita tentang Al-Sultan Terengganu yang sedang gering itu sampai ke pengetahuan Tengku Chik, Raja yang memerintah Besut pada masa itu. Tengku Chik menyembahkan kepada Al-Sultan Terengganu tentang adanya seorang bomoh yang handal di Pulau Perhentian. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan baginda, lalu baginda menitahkan supaya bomoh dipanggil untuk datang ke Kuala Terengganu dan mengubati baginda. Setelah dititahkan oleh Sultan Terengganu supaya datang mengadap, Batin Mina iaitu bomoh yang dimaksudkan oleh Tengku Chik mula bersiap-siap untuk memulakan pelayaran ke Kuala Terengganu.
Batin Mina memulakan pelayaran ke Kuala Terengganu dengan menggunakan sebuah perahu kecil yang diperbuat daripada batang kayu dan layarnya diperbuat daripada sebidang tikar. Pada masa itu ialah musim tengkujuh. Batin Mina belayar seorang diri mengharungi gelora musim tengkujuh untuk ke Kuala Terengganu semata-mata untuk mengubati Baginda Al-Sultan. Setelah sampai di Kuala Sungai Terengganu dan mendarat di jeti tidak jauh dari Istana Maziah, beliau disambut oleh seorang wakil Al-Sultan yang dikenali dengan nama Pak Bian. Kedatangan Batin Mina memang ditunggu-tunggu oleh pihak istana.
Mengikut cerita perahu kecil yang berlayarkan tikar yang dinaiki oleh Batin Mina mempunyai keanehan dan luar biasa pada pandangan orang ramai. Perahu kecil yang diperbuat daripada sebatang kayu dan menggunakan layar sebidang tikar itu dilihat oleh orang ramai yang menunggu ketibaannya bagaikan sebuah kapal yang besar dan dinaiki oleh berpuluh-puluh orang. Tetapi setelah ianya semakin hampir dengan pantai ianya dilihat semakin kecil dan akhirnya ianya adalah sebuah perahu layar yang kecil sahaja.
Batin Mina masuk ke dalam istana dan diberi santapan Diraja. Setelah berehat seketika, Batin Mina dititahkan mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk melihat penyakit yang dihidapi oleh Baginda. Setelah masuk mengadap, Batin Mina mempersembahkan kepada Duli Yang Mulia Sultan bahawa Baginda sebenarnya tidak sakit. Ia sudah mengetahui bahawa Baginda Al-Sultan sekadar ingin menguji kepandaian dan kehandalan bomoh yang ada di serata negeri. Setelah Al-Sultan mengetahui bahawa Batin Mina sudah mengetahui bahawa Baginda tidak sakit, Baginda pun terus bangkit dari tempat peraduan dan segera menghampiri Batin Mina. Baginda Al-Sultan mengakui kehandalan Batin Mina sebagai seorang bomoh.
Sejak peristiwa itulah, batin-batin yang tinggal di Pulau Perhentian mendapat layanan istimewa daripada Baginda Al-Sultan Terengganu. Mengikut cerita Baginda Al-Sultan berjanji akan memberi layanan istimewa kepada Batin Mina dan anak cucunya yang tinggal di Pulau Perhentian. Mulai dari peristiwa itu jugalah Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan yang seterusnya dikatakan tetap menghormati Batin-Batin Pulau Perhentian dan sering juga mengunjungi Pulau Perhentian.


Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman, Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abidin 11, Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah juga sering mengunjungi Pulau Perhentian. Mengikut cerita setiap kunjungan Duli-Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan akan disambut dengan upacara penuh istiadat mengikut tradisi. Segala tradisi ini berterusan sehinggalah kepada Batin yang terakhir iaitu Batin Sidek. Kawasan perairan Pulau Perhentian dan sekitarnya diletakkan di bawah kawalan Batin-Batin sehinggalah sampai ke zaman pemerintahan Inggeris. Ianya bermula dari zaman Batin Mina lagi. Selepas kematian Batin Sidek, tidak ada lagi warisan kebatinan yang mengepalai penduduk Pulau Perhentian. Ianya telah diganti dengan seorang Ketua Kampung yang dilantik oleh masyarakat. Bermula pada tahun 1990, seorang Ketua Kampung mengetuai penduduk Pulau Perhentian.



Kegiatan Sosioekonomi Penduduk Pulau Perhentian Di Awal Penempatan


Diawal penempatan penduduk Pulau Perhentian bekerja sebagai petani dan nelayan saradiri. Penduduknya bercucuk tanam seperti padi dan ubi kayu untuk keperluan keluarga. Padi ditanam di satu kawasan rendah di kaki bukit kawasan penempatan di Teluk Dalam, Pulau Perhentian Besar. Selain daripada padi, ubi kayu juga ditanam untuk keperluan sementara menunggu padi mengeluarkan hasilnya.
Sebagai sumber protein, penduduk Pulau Perhentian pada masa itu menangkap ikan dengan menggunakan pancing di sekitar perairan Pulau Perhentian. Mereka pergi memancing dengan menaiki perahu-perahu kecil yang diperbuat daripada batang-batang kayu yang ditebuk. Segala hasil tangkapan hanya cukup untuk keperluan keluarga mereka.
Bekalan makanan seperti beras sebenarnya tidak mencukupi untuk menampung jumlah penduduk yang semakin bertambah pada masa itu. Batin Mina ketua bagi
penduduk Pulau Perhentian pada masa itu telah mengena syarat kepada kapal-kapal dagang Cina yang berlabuh di perairan Pulau Perhentian. Setiap kapal yang berlabuh dan berlindung di Pulau Perhentian dikenakan cukai dalam bentuk makanan dan pakaian. Pada masa itu kapal-kapal dagang Cina yang berlabuh itu dikenali sebagai 'wakam' oleh penduduk kampung. Ianya adalah sejenis kapal layar yang besar yang lebih dikenali sebagai tongkang. Jika mereka enggan membayar cukai, tindakan akan diambil. Barang-barang mereka akan dirampas dan tidak dibenarkan berlabuh di sekitar perairan pulau. Jika sekiranya penguasa pulau pada masa itu iaitu Batin Mina dan pembantu-pembantunya gagal mendekati kapal-kapal itu, tindakan lain akan diambil. Mengikut cerita, pernah terjadi kapal-kapal dagang Cina itu dihalang pelayaran mereka dengan membina beting pasir di tengah laut bagi tujuan menyekat pelayaran kapal tersebut. Pembinaan beting pasir itu dikatakan dibina dengan menggunakan ilmu kebatinan oleh Batin Mina. Setelah pelayaran kapal itu tersekat, pedagang-pedagang itu terpaksa tunduk dan membayar cukai kepada Batin Mina.

Bagaimana Penempatan Sekarang Di Buka


Penempatan sekarang asalnya satu kawasan yang dipenuhi dengan lalang dan semak samun. Di persisiran pantainya adalah hamparan pasir yang memutih. Setelah Pulau Perhentian ditinggalkan sekian lama oleh Batin Jamal dan orang-orangnya dan kemudian kembali semula ke Pulau Perhentian, mereka tidak kembali menetap di Teluk Dalam. Apabila kembali semula ke Pulau Perhentian dari Kuala Besut (Negeri Sanyanya), mereka telah membuka satu kawasan penempatan yang baru. Tempatnya ialah Pasir Hantu iaitu penempatan sekarang.
Pada masa dahulu, sebelum ianya dibuka oleh Batin Jamal, tempat ini adalah kawasan yang ditakuti oleh penduduk Pulau Perhentian kerana ianya dikatakan berhantu. Oleh kerana itulah tempat ini dinamakan Pasir Hantu. Mengikut cerita, sebelum ianya dibuka, orang kampung takut mendekati kawasan ini sewaktu mereka memancing di laut. Ini adalah kerana ada semacam orang yang melambai-lambai di tepi pantai, pada hal pada masa itu masih belum ada penghuni lagi di Pulau Perhentian Kecil. Oleh kerana itulah tempat ini dinamakan Pasir Hantu. Setelah ianya dibuka oleh Batin Jamal, masalah itu dikatakan dapat diatasi dan ketakutan penduduk pun hilang.
Sebenarnya, apabila Batin Jamal dan orang-orangnya kembali dari Kuala Besut (Negeri Sanyanya), tidak semua mereka yang kembali itu tinggal di Pasir Hantu, Pulau Perhentian Kecil. Ada di antara mereka yang tinggal di Pulau Perhentian Besar tetapi tidak di Teluk Dalam. Ada di antara mereka itu menduduki dan menetap di Seberang Air Keruh, Seberang Mat Daham, Batu Jong dan Teluk Pauh. Semuanya di Pulau Perhentian Besar dan merupakan tempat peranginan dan perkelahan yang menarik pada masa ini.
Selain daripada itu, ada juga yang mendiami Pasir Petani di Pulau Perhentian Kecil. Dari kajian dan cerita yang diperkatakan oleh pencerita, penempatan pada masa dulu adalah berselerah di beberapa tempat di sekitar Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar. Tetapi penduduk Pulau Perhentian takut untuk kembali ke Teluk Dalam kerana tempat itu dikatakan berhantu dan tidak sesuai untuk didiami.
Penduduk Pulau Perhentian menetap di satu tempat di sekitar awal abad ke 20 iaitu pada zaman pemerintahan Inggeris. Orang yang bertanggungjawab menyatukan dan mengumpulkan semua penduduk Pulau Perhentian di satu kawasan penempatan ialah Batin Talib. Semua penduduk Pulau Perhentian, tidak kira sama ada di Pulau Perhentian Besar atau Pulau Perhentian Kecil menetap di satu penempatan sahaja iaitu di Pasir Hantu iaitu penempatan sekarang. Semenjak semua penduduk Pulau Perhentian menetap di satu penempatan tidak ada lagi penduduk di sini yang tinggal berselerak di merata-rata Pulau Perhentian. Penempatan sekarang di bawah pentadbiran enam orang batin, yang bermula dari Batin Jamal hinggalah batin yang terakhir sekali iaitu Batin Sidek. Sehinggalah sekarang ini, penduduk Pulau Perhentian tinggal di satu tempat dan segala kemudahan asas senang disalurkan kepada semua penduduk.


Pulau Perhentian Semasa Jepun

Semasa Jepun melanggar Tanah Melayu dalam perang dunia kedua iaitu di sekitar 1941 hingga tahun 1945, Pulau Perhentian tidak ketinggalan dari terasa bahangnya. Pulau Perhentian dijadikan pelabuhan tempat persinggahan sementara tentera Jepun untuk menyerang lain-lain tempat di Tanah Melayu dan Asia Tenggara. Kapal-kapal tentera Jepun berlabuh dan berkubu sementara di Pulau Perhentian.

Tentera Jepun bertindak merampas makanan dan ternakan daripada orang-orang kampung. Penduduk menjadi ketakutan, terutama sekali golongan muda. Ini adalah kerana tentera Jepun bertindak cuba menangkap tenaga-tenaga muda ini untuk dijadikan buruh keretapi maut di Burma. Bagi mengelakkan diri dari tertangkap, mereka melarikan diri ke atas bukit dan memasuki hutan Pulau Perhentian. Penduduk kampung yang lari terpaksa bermalam di dalam hutan dan mendapat bekalan makanan daripada golongan tua yang masih tinggal di rumah masing-masing secara sembunyi-sembunyi. Sebenarnya bukan sahaja golongan muda lelaki sahaja yang melarikan diri tetapi juga golongan wanita kerana takut akan kekejaman tentera Jepun.

Kesengsaraan pada zaman Jepun turut dirasakan oleh penduduk Pulau Perhentian sepertimana yang dirasakan oleh penduduk Tanah Besar Semenanjung. Semua ternakan dan makanan yang tidak sempat disembunyikan dirampas oleh tentera Jepun dan sesiapa yang cuba melawan akan diseksa dan dibunuh oleh mereka. Penduduk kampung yang bersembunyi keluar dari tempat persembunyian apabila Jepun mengaku kalah dalam tahun 1945. Setelah Jepun mengaku kalah baharulah orang-orang kampung menjalani kehidupan seperti biasa sama seperti sebelum pendudukan tentera Jepun.



Lagenda Di Pulau Perhentian
Batin Mina


Batin Mina merupakan orang yang pertama membuka satu kawasan penempatan di Pulau Perhentian. Beliau dikatakan berasal dari Johor-Riau. Oleh kerana adanya campurtangan Inggeris dan Belanda di situ, beliau telah bertindak menentang campurtangan itu. Pada masa itu, Belanda menguasai kepulauan Indonesia dan Inggeris menguasai Tanah Melayu. Beliau dikatakan begitu marah dengan campurtangan itu dan bertindak menentang dasar itu. Beliau dikatakan bersama orang-orangnya telah bertindak menyerang kapal-kapal dagang Inggeris dan Belanda yang berlayar di sekitar perairan Riau. Tindakannya menyerang dan merampas barang-barang dagangan yang dibawa oleh kapal-kapal dagang Inggeris dan Belanda itu telah menimbulkan kemarahan pihak Belanda dan Inggeris. Pihak Belanda dan Inggeris menganggap Batin Mina dan orang-orangnya sebagai lanun. Tetapi tindakan Batin Mina dan orang-orangnya tidak begitu berkesan untuk menghalang dua kuasa imperialis itu dari menguasai gugusan Kepulauan Melayu. Ini adalah kerana dua kuasa itu mempunyai kelengkapan senjata yang baik. Tindakan Batin Mina itu telah menyebabkan pihak Belanda dan Inggeris menyerang balas dan menyerang kubu-kubu yang digunakan oleh Batin Mina dan orang-orangnya. Batin Mina yang telah dianggap lanun oleh dua kuasa barat itu telah menjadi buruan pihak Belanda dan Inggeris. Batin Mina dan orang-orangnya telah lari dari buruan pihak Inggeris dan Belanda itu ke Timur Semenanjung. Kemudian membuka penempatan dan menetap di Teluk Dalam Pulau Perhentian Besar. Beliau dikatakan seorang yang terkenal kerana mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi. Seorang pendekar yang terbilang serta mempunyai ilmu kebal. Beliau juga adalah seorang bomoh yang handal. Di Pulau Perhentian beliau dikenali sebagai Batin. Kehandalan Batin Mina sebagai bomoh memang terkenal kerana dikatakan telah berjaya mengubati penyakit sehingga sampai ke istana.Pada masa beliau menjadi batin di Pulau Perhentian, bekalan pakaian dan makanan tidak mencukupi untuk penduduk yang di bawah tanggungjawabnya. Langkah yang diambil oleh Batin Mina ialah dengan meminta bekalan makanan dan pakaian dari wakam atau tongkang besar Cina yang berlabuh di sekitar perairan Pulau Perhentian. Segala pemberian itu bolehlah dianggap sebagai cukai dan jaminan keselamatan kepada kapal-kapal dagang yang berlabuh. Tetapi ada di antara kapal-kapal dagang Cina yang berlabuh itu enggan memberikan apa yang diminta oleh Batin Mina. Tindakan pedagang itu menimbulkan kemarahan Batin Mina. Dengan menggunakan ilmu kebatinan yang ada padanya, beliau dikatakan telah bertindak menghalang pelayaran kapal-kapal dagang itu dengan membina beting-beting pasir di tengah laut. Oleh kerana adanya beting pasir itu, kapal-kapal tidak dapat meneruskan pelayaran dan terpaksa tunduk kepada Batin Mina. Tindakan Batin Mina itu telah menyebabkan kapal-kapal dagang yang berlindung di Pulau Perhentian membayar cukai kepada Batin Mina.
Panglima Dayak
Beliau adalah merupakan panglima kepada Batin Mina. Panglima Dayak bertindak sebagai pembantu kepada Batin Mina dari segi keselamatan penduduk Pulau Perhentian pada masa itu. Beliau tidak terus menjadi panglima kepada batin yang selepas Batin Mina. Mengikut cerita, beliau dikatakan ghaib selepas sahaja kematian Batin Mina. Mengikut cerita, jika ada orang yang tersesat di atas bukit Pulau Perhentian Besar akan terjumpa dengannya dan beliau akan membantu atau membawa ke satu tempat yang dinamakan Pinang Seribu. Dari cerita lisan yang diperkatakan, pernah terjadi orang yang tersesat di atas bukit Pulau Perhentian akan ditemui di tempat yang sama sahaja dengan mereka yang tersesat sebelumnya. Ini terjadi kerana mereka yang tersesat itu dikatakan telah dibawa oleh Panglima Dayak. Setelah mereka yang tersesat itu dibawa ke beberapa tempat dengan tidak disedari oleh mereka yang tersesat itu, kemudian ianya akan dihantar ke satu tempat yang dikenali dengan Pinang Seribu. Orang yang mencari akan menemui mereka yang tersesat itu di tempat yang sama setiap kali kejadian sesat ini berlaku. Panglima Dayak ini dikatakan masih ada lagi hingga sekarang ini. Wallahualam.

Pulau Kapas



PULAU KAPAS

Kira-kira seratus tahun lampau, Pulau Kapas yang terletak enam kilometer dari Pantai Marang, Terengganu amat ditakuti oleh penduduk dan nelayan tempatan. Mereka cukup takut berteduh terutamanya pada musim tengkujuh. Mereka takut dan khuatir nyawa terancam apbila mendekatinya.

Pulau Kapas dikatakan berpenunggu puaka-beberapa orang yang singgah di situ menerima nasib malang, menemui ajal dalam keadaan yang ngeri dan memilukan. Memang ada di kalangan nelayan-nelayan yang menjadi mangsanya, ada juga yang hilang begitu sahaja. Demikian menurut cerita beberapa orang penduduk setempat.

Selain itu, terdapat cerita yang diperturunkan dari mulut ke mulut tentang asal usul Pulau Kapas, iaitu tentang adanya seekor harimau ganas yang tidak diketahui jenisnya yang sentiasa membaham sesiapa sahaja yang berada di situ. Harimau tersebut kononnya dapat berubah wajah menjadi orang tua atau perempuan cantik yang pandai menggoda.

Apabila bertukar wajah menjadi orang tua ia meminta orang melakukan sembahan-sama ada kambing atau anak lembu. Darahnya hendaklah dihantar ke puncak bukit di situ. Jika ingkar, ia bertukar menjadi harimau, lantas membaham yang ingkar.

Apabila menyerupai perempuan cantik, ia lantas sahaja menggoda. Apabila mangsanya tergoda, ia berubah menjadi harimau dan membaham mangsanya.

Bagaimanapun, orang yang ke Pulau Kapas kini tidak pernah berasa bimbang atau takut lagi. Segala cerita tentang puaka dan harimau itu tinggal dongeng. Pulau Kapas kini menjadi pulau pelancongan yang kian sibuk.

Pulau Kapas yang terletak di perairan Terengganu dikelilingi air laut yang jernih bagaikan kaca sehingga kelihatan batu-batu karang dan ikan pelbagai jenis berwarna-warni.

Pantainya putih bersih dan pemandangannya begitu menarik dengan batu-batan menghampar ke laut. Ia berbukit-bukit dengan hutan menghijau.

Pulau ini juga mempunyai beberapa keistimewaan lain, termasuk sebuah perigi berair sejuk semulajadi. Ia juga sesuai bagi yang berminat dengan aktiviti berperahu, menangkap ikan, menyelam, berkelah dan memancing.

Untuk tiba di pulau ini tidak begitu menyulitkan. Memandangkan terdapat banyak perkhidmatan bot penumpang dari pantai Marang. Pejalan sejauh enam kilometer mengambil masa kira-kira 30 minit. Sebarang tempahan dan pertanyaan boleh dibuat menerusi Hotel Pantai Primula, Kuala Terengganu.




TAMAN LAUT

Sebagai tetamu Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman, ahli-ahli PERTAMA telah dibawa melawat Pulau Kapas yang diisytiharkan sebagai Taman Laut yang diberi perlindungan dan perhatian oleh Kerajaan Terengganu.

Pulau Kapas dengan keluasan 2.72 km persegi memang mengkagumkan. Sepanjang pantai memutih umpama kapas. Air laut yang jernih kebiruan bagaikan cermin, dari permukaannya jelas kelihatan pemandangan di dasarnya, batu-batu karang yang hidup dan mati ditutupi lumut laut dapat dihayati. Begitu juga kumpulan ikan-ikan kecil berkilauan berenang ke sana sini di celah-celah batu karang dan sepanjang pantai sungguh menghiburkan serta menyeronokkan.

Angin dingin bertiup dari arah Laut Cina Selatan begitu nyaman, burung-burung Camar berwarna putih bersih berterbangan di permukaan laut dengan riangnya, bagaikan sedang memperagakan tarian dari syurga.

Pulau Kapas menurut ceritanya didatangi oleh penyu dari jenis Agar untuk bertelur sepanjang bulan Jun hingga Oktober pada setiap tahun.

Untuk sampai ke Pulau Kapas kita perlumenaiki bot dari pengkalan nelayan di Marang dengan perjalanan sejauh enam kilometer, mengambil masa lebih kurang 45 minit setelah bergelut dengan ombak dan gelombang. Dari atas bot jelas kelihatan keindahan laut di persekitaran dan juga gunung-ganang di sekeliling pulau yang begitu menarik, terutama kepada pencinta alam semulajadi.

Pulau Kapas merupakan syurga bagi penyelam, snoorkeling, scuba diving dan aktiviti seumpamanya. Airnya yang jernih memberikan ketenangan kepada para pengunjungnya. Perkhidmatan bot dengan kadar bayaran RM15 seorang pergi balik, tempat penginapan chalet dan kemudahan-kemudahan sampingan yang lain memang disediakan untuk para pengunjung dengan layanan ramah dan mesra daripada pekerja-pekerjanya.

Di pulau ini pelancong bukan sekadar dapat menikmati keindahan pantai dan Taman Lautnya malah hampir 95% kawasannya dipenuhi oleh bukit dan gunung-ganang yang ditumbuhi oleh hutan hijau semulajadi. Pulau ini juga merupakan tempat perlindungan nelayan sewaktu musim tengkujuh.

Terdapat berbagai lagenda mengenai pulau ini yang dipercayai oleh penduduk-penduduk tempatan. Kononnya pada suatu masa dahulu sepanjang pantai pulau ini pasirnya berwarna kuning. Sebuah kapal dagang membawa muatan kapas telah tenggelam berhampiran di situ.

Semua muatan kapal hanyut dibawa ombak ke pantai pulau lalu mengubah warna pasirnya hingga menjadi putih. Sebab itulah pulau ini dinamakan Pulau Kapas. Satu lagi lagenda mengatakan pada zaman dahulu sesiapa yang pergi ke pulau ini pasti akan mati dan pulau ini melambangkan kapas bagi mengapankan orang yang telah mati di sana.
Berbagai lagenda lain dapat didengar daripada penduduk tempatan, tetapi biar apa pun dongeng yang diperdengarkan, pulau ini begitu menarik perhatian pengunjungnya, kaya dengan keindahan, menawarkan ketenangan dan kedamaian yang pasti mencengkam citarasa pengunjungnya.

Usaha positif daripada pihak berwajib ke arah memajukan dan memperkenalkan Pulau Kapas sebagai suatu destinasi pelancongan terkenal amat cerah kelihatan, dan tidak kurang pentingnya ia merupakan suatu khazanah unggul warisan kekayaan negeri Terengganu Darul Iman.


OLEH FARIDAH ANOM ARSHAD


KESUCIAN PULAU KAPAS

Keistimewaan Pulau Kapas, keaslian alam semulajadi dan tempatnya. Pelancong yang selalu berkunjung ke pusat peranginan pantai semenanjung, tentu setuju Pulau Kapas antara pulau peranginan paling terpelihara.

Kedudukannya antara yang terdekat tanah besar membuat perjalanan tidak memenatkan dan membolehkan pelancong untuk menikmati sepuasnya apa yang tersedia di pulau ini.

Walaupun dekat dan pengusaha pusat peranginan ini ghairah memperkenalkannya, kesucian pulau menjadi keutamaan. Banyak kegiatan sukan air dielakkan semata-mata untuk memelihara alam semulajadinya.

Namun ini tidak bererti tiada kegiatan langsung ketika di sini. Sedaya boleh kegiatan itu tidak mencemar alam semulajadi.

Mereka yang bijak, menggunakan kelebihan ini untuk beristirehat. Cara terbaik menikmati keindahan perairan Pulau Kapas ialah merentas pinggir pulau menaiki bot atau pergi snoorkeling di perairan berbatu karang.

Anda boleh berehat atau baring di dalam bot lebih setengah jam untuk mengelilingi pulau ini tanpa berasa jemu. Sepanjang perjalanan anda dihidangkan pemandangan menarik seperti gua dan pelbagai jenis burung cantik.

Jasamu Dikenang



BELASUNGKAWA DATO’ HAJI RAZALI BIN ISMAIL


(1949-2008)
PPAT KEHILANGAN PEMIMPIN DISEGANI


Meskipun sedetik berlalu, pelbagai peristiwa yang mewarnai kehidupan manusia boleh berlaku. Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) khasnya, kehilangan seorang pemimpin dan tokoh akademik berwibawa serta disegani ramai kerana pengalaman dan idea bernas yang sering dilontarkan bagi melahirkan cerdik pandai. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Timbalan Pengerusi Dato’ Razali bin Ismail, 59 tahun tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda bahawa beliau sakit malah kelihatan sihat dan cergas. Berita kematiannya memang mengejutkan.

Allahyarham dilantik Timbalan Menteri Pelajaran pada 18 Mac 2008 merupakan Ahli Perlimen Kuala Terengganu meninggal dunia secara mengejut di Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands pada 28 November 2008 ketika sedang bermain badminton kira-kira pukul 6.30 petang. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara, Kuala Terengganu.

Allahyarham yang dilahirkan di Kuala Berang pada 25 Jun 1949 mendapat Diploma Pendidikan dari Universiti Malaya tahun 1973 dan kemudiannya melanjutkan Ijazah Sarjana juga dalam bidang pendidikan di University of Birmingham tahun 1986 dan 1987.

Pengalaman sebagai seorang Pendidik, Pensyarah dan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, di Kementerian Pelajaran banyak membantu beliau menjadi seorang pemimpin yang boleh diterima oleh seluruh masyarakat. Beliau pernah memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak 2004.

Selaku Timbalan Pengerusi PPAT yang dilantik pada 7 Julai 2004, beliau telah bersama-sama membangunkan PPAT dalam mencetuskan tradisi keintelektualan dan budaya ilmu. Nilai tambah dalam bidang pembacaan termasuk infrastruktur perpustakaan samada di pihak pengguna mahupun warga kerja perpustakaan adalah penting dalam usaha melahirkan rakyat yang bestari dan kreafif. Program terakhir Allahyarham bersama PPAT ialah merasmikan Program Jerayawara Bulan Bahasa Dan Sastera Negara 2008 Peringkat Wilayah Timur pada 26 Oktober 2008 bertempat di Dewan Teater, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu.

Personalitinya yang sederhana dan cukup mesra membuatkan Allahyarham mudah diterima oleh semua golongan masyarakat. Allahyarham meninggalkan balu To’ Puan Nooraini Lob Yusoff 51, dan lima orang cahaya mata iaitu Muhamad Nurazli 30, Pengurus di Sime Darby Bhd, Asrul Shah 27 bertugas sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik, Khairul Amar 23, masih menuntut di Amerika Syarikat, Khairul Anwar menuntut di Universiti Selangor dan yang bongsu Khairul Arif 16, pelajarolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Selangor.


Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang yang soleh.

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga.



PERGINYA SEORANG TOKOH TEATER

Datuk Haji Razali Ismail kini sudah pergi buat selama-lamanya. Ketika hayatnya, beliau dianggap sebagai tokoh teater yang mementingkan asas pendidikan. Teater yang dibawanya berbaur pendidikan dalam teater dan teater dalam pendidikan.

Sewaktu beliau menjadi Setiausaha Perkumpulan Teater Terengganu (KUMPUTER) selepas mengambil alih daripada saya, beliau menggagas manifestasinya. Melaui Manifestasi 111 pada 1981, beliau mengutarakan Teater Sebagai Media Pendidikan.

Kata beliau, ”Keterampilan teater dan apresiasi seni harus bermula dari zaman kanak-kanak menerusi pendidikan formal dan tidak formal”.

Ekoran itu, manifestasi tersebut menghasilkan resolusi supaya ”teater dan pendidikan kebudayaan” dijadikan isi kandungan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Hal tersebut merupakan satu ketetapan untuk merealisasikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah.

Sewaktu berbual dengannya dua bulan sebelum beliau meninggal dunia pada Jumaat 28 November 2008 pukul 6.30 petang ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki (IAB) Genting Highlands, beliau berhasrat untuk merealisasikan manifestasi dan resolusi 1981 itu dengan kapasitinya sebagai Timbalan Menteri Pelajaran.

Beliau juga mahu saya dan Majlis Teater Negeri Terengganu mengumpulkan sebanyak mungkin penggiat teater, terutamanya penggiat teater Terengganu pada akhir 2008. Kami bersetuju. Beliau telah memberikan sedikit peruntukan untuk menjayakan program yang amat diminati itu. Kami berasa kehidupan teater Terengganu lebih kukuh, bertambah kuat, bertenaga dan bersemangat ketika beliau menjadi Pengarah Pelajaran Terengganu hinggalah beliau menjadi Timbalan Menteri Pelajaran.

Ketika Persatuan Karya Negeri Terengganu (KARYA) meminta beliau merasmikan wacana teater: Pemikiran dalam Teks Drama Pentas Terengganu pada 28 April 2007 dan Majlis Pelancaran Pementasan Drama Janji Teja pada 19 Mei 2007, beliau amat bersungguh-sungguh untuk menghadirkan diri. Beliau datang dan memberikan ucapan yang kental dan bersemangat untuk orang-orang teater, orang sastera dan orang seni selain orang awam yang menghadiri majlis tersebut.

Teater sebagai satu media pendidikan tidak akan terlepas dalam setiap ucapannya mengenai teater. Dalam dua majlis itu juga disebutnya pada saya bahawa beliau sudah terdidik sebagai seorang pendidik. Daripada seorang guru, seorang pensyarah maktab, pengetua maktab, pengarah pelajaran, pengarah bahagian pendidikan di Kementerian Pelajaran sehinggalah menjadi Timbalan Menteri Pelajaran.

Perdana Menteri sewaktu memberikan ulasan dan pandangannya tentang kematian Datuk Razali itu ada menyebut, ”Saya menaruh harapan supaya suatu hari nanti Allahyarham menjadi Menteri Pelajaran”. Saya percaya itu.

Saya percaya kuasa Allah. Pada pilihanraya 2004, beliau menang Ahli Perlimen Kuala Terengganu. Ketika beliau datang ke rumah saya pada malam keesokannya selepas pengumuman kemenangannya sebagai Ahli Perlimen, saya nyatakan kepadanya, ”Li, kamu bakal menjadi setiausaha perlimen atau Timbalan Menteri Pelajaran”.

Beliau akur akan perkara itu kerana namanya disebut-sebut untuk menjawat jawatan tersebut. Namun dua minggu selepas itu beliau beritahu saya bahawa Menteri Besar memberitahunya, namanya digugurkan daripada senarai.

Akhirnya perbualan saya dengan beliau benar-benar terjadi apabila selepas menang Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu, beliau dilantik menjadi Timbalan Menteri Pelajaran. Menerusi kejayaannya, kedudukan teater, seni dan sastera menjadi bertambah kukuh untuk direalisasikan di sekolah. Beliau ada memberitahu saya akan hal itu sewaktu saya berkunjung ke pejabatnya di Putrajaya seawal beliau menduduki kerusi Timbalan Menteri Pelajaran. Beliau meminta saya supaya mengajak kawan-kawan datang ke pejabatnya. Biliknya sentiasa terbuka. Saya gembira mendengarnya.

Saya gembira kerana beliau masih lagi rapat dengan saya walaupun agak renggang sedikit sewaktu timbulnya ”Revolusi Istana” dalam Perkumpulan Terengganu akibat anasir dan virus yang cuba menyingkir saya dari KUMPUTER.

Razali tahu akan kedudukan saya yang sebenarnya kerana kami sama-sama membangun seni dan sastera sewaktu bersekolah di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, sekitar tahun 1967-1968. beliau memang hebat di sekolah-mengarang dan mengarah drama sekolah. Drama karya dan arahan beliau yang terkenal ialah Pendekar Tempang. Malahan, beliau telah berjaya menghasilkan skrip drama yang cukup tinggi teks sasteranya berjudul Dunia Dua dan Escapesiem.

Selain itu, kami dan teman-teman lain berjaya membangunkan Kesusasteraan Melayu Terengganu (KESUMA) selepas tamat sekolah menengah pada 1968. Kemudian, kami menguasakan pementasan drama berjudul Di Manakah Ku Cari Ganti pada awal 1970 sebelum beliau menyambung pelajarannya ke Universiti Malaya. Sekembalinya beliau dari Universiti Malaya, kami menubuhkan KUMPUTER pada 25 Oktober 1974 bertempat di Pantai Motel, Kuala Terengganu.

Melalui KUMPUTER, kami megusahakan skrip berjudul Layang-Layang Terbang Melayang. Skrip itu terhasil di rumah saya di Kampung Padang Hiliran, Kuala Terengganu ketika kami masih bujang. Ketika saya menaip, beliau mencari idea, ketika beliau menaip, saya mencari idea, hingga terhasil skrip tersebut dan akhirnya dipentaskan pada Februari 1975.

Sewaktu dalam KUMPUTER, kami bersama-sama dengan Wan Hanafi Su dan Mohd. Ali Taha telah menghasilkan cerita pentas yang berunsur ritual. Antaranya ialah Selayut (karya Mohd. Ali Taha), Ancak (karya Wan Hanafi Su) dan Ambooiii (karya Wan Ahmad Ismail).

Melalui pengalaman tersebut, beliau berjaya menggarap drama berjudul Nyoyang. Nyoyang menjadi karya agung beliau kerana berjaya dipentaskan lebih 30 kali, termasuk di Taman Ismail Marzuki, Indonesia pada 13-14 Januari 1983.

Sebagai seorang yang mementingkan disiplin, arahannya terserlah menerusi Wau Bulan. Banyak penggemar teater yang menganggap teater arahannya cukup mantap dan berwibawa. Malahan lakonannya cukup hebat ketika berlakon seorang diri (monolog) sebagai Sang Pengarang melalui drama berjudul Kosong.

Karya beliau banyak berlatarkan kehidupan kampung, permainan rakyat dan persembahan tradisional dan ritual seperti drama Awak Dayung Mak Yong, Kain, Paku Siah Paku Kecundang, Rohaniku Bisu, Bisuku Rohani, Wau Bulan, Selayut dan banyak lagi.

Beliau meninggal dunia di gelanggang sukan dan bukan di pentas lakonan. Beliau meninggalkan kawan-kawan teater, meninggalkan isteri To’ Puan Nooraini Lob Yusoff dan lima orang anak yang setahu saya tidak seorang pun yang berminat dalam dunia seni sastera dan teater.

Banyak orang yang menganggap beliau satu-satunya warga pendidik yang amat prihatin terhadap dunia pendidikan. Beliau meninggalkan rakyat Kuala Terengganu yang beliau menjadi ahli parlimennya. Malahan semasa menjadi Timbalan Menteri Pelajaran, beliau mengambil berat akan kedudukan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Datuk Johan Jaafar melaui khidmat pesanan ringkasnya kepada saya menyatakan terima kasihnya kepada Datuk Razali kerana banyak membantunya di DBP. Selepas saya bersara, beliau mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan Menteri Besar terdahulu supaya saya menduduki Akademi Seni Terengganu. Cadangannya tidak berjawab, bermakna kerajaan negeri menolaknya. Semuanya ketentuan Allah S.W.T.

Apa-apa pun, Datuk Razali Ismail meninggalkan kita dengan karyanya Ngoyang yang dianggap berhantu, di samping karya lain yang tidak kurang hebatnya. Beliau meninggalkan kesan ketika berlakon melalui drama Kosong dan memberikan input yang tajam ketika mengarah Wau Bulan. Beliau terjatuh ketika bermain badminton, bukan bermain drama.

DBP sepatutnya mengambil inisiatif untuk mengumpul dan mencetak kembali skrip drama pentasnya sebgai tanda ingatan kepada beliau.

Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin.


OLEH WAN AHMAD ISMAIL




SEKITAR LAWATAN KERJA DATUK RAZALI
MENGHARUNGI CABARAN

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail membuktikan yang beliau sanggup mengharungi apa juga cabaran demi pendidikan dan kemajuan pelajar-pelajar di luar bandar.

Baru-baru ini (dari 8-13 Jun) beliau telah menjelajah ke sekolah-sekolah di pedalaman Sabah dengan mengharungi jalan berbatu kerikil, sungai dan jeram, lurah dan bukit demi memastikan anak-anak di luar bandar mendapat pendidikan sempurna bagi memenuhi aspirasi nasional ke arah melahirkan insan berpendidikan.

Beliau bersama rombongan telah berjaya meninjau di enam buah sekolah di kawasan Pensiangan dan Salinatan dalam daerah Nabawan serta dua buah sekolah di Tawau iaitu Sekolah Kebangsaan Kalabakan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kalabakan.

Dengan kehadiran beliau itu memberi semangat baru kepada pendidik dan para pelajar dalam misi menyemarakkan dan memajukan pendidikan terutama di kalangan para pelajar luar bandar.

Bagi Datuk Razali sendiri, lawatannya itu memberi peluang kepadanya untuk mengetahui sendiri masalah yang dihadapi pelajar-pelajar dan guru-guru sekolah-sekolah di luar bandar.

Semasa menjawat jawatan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru pada tahun 2003 beliau pernah melakukan lawatan serupa dan lawatan kali kedua ini menambah keyakinan penduduk tempatan terhadap pelaksanaan rancangan pembangunan pendidikan di kawasan yang kemiskinannya paling tinggi di Sabah.

Sebagai seorang pemimpin yang berjiwa pendidikan, Datuk Razali Ismail tidak mahu hanya pandai mengeluarkan teori-teori atau cakap-cakap sahaja malah sanggup merentasi apa sahaja cabaran untuk melihat sendiri kesusahan dan masalah yang dihadapi oleh warga pendidik dan penduduk di kawasan luar bandar yang menghadapi masalah kemiskinan tegar.

Dengan strategi ini pelajar-pelajar di pedalaman tidaklah terasa terpinggir atau tersisih dari perhatian para pemimpin mereka.

Mereka juga perlu memperolehi atau mengecapi nikmat pendidikan berkualiti kerana ”Pendidikan Adalah Untuk Semua, tiada anak yang dipinggirkan”. Begitulah motto yang sentiasa dipegang oleh Datuk Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran yang sentiasa memberi perhatian berat terhadap pendidikan anak bangsa.

Dalam ucapannya di mana sahaja, Datuk Razali sentiasa menegaskan bahawa tiada warga yang dinafikan haknya untuk mendapatkan peluang pendidikan yang berkualiti.

Menteri Pelajaran Datuk Hishamuddin Tun Hussein menyokong penuh lawatan kerja yang dilakukan oleh Datuk Razali Ismail ke sekolah-sekolah di pedalaman itu.

Gerak kerja yang dilakukan ini sebagai usaha untuk memastikan pelan merapatkan jurang pendidikan dan memartabatkan profesion keguruan dapat direalisasikan dengan jayanya.

Bercakap mengenai pembangunan pendidikan luar bandar Datuk Razali menegaskan, ”Apa yang membimbangkan kita ialah kita tidak menggunakan sepenuhnya sumber yang kita ada yang tidak terkira banyaknya”.

Beliau menggesa agar guru berani menghadapi cabaran mendidik pelajarnya dan masyarakat pula perlu berani membuat perubahan sikap demi kepentingan pendidikan anak bangsa mereka.

Usaha melahirkan pelajar cemerlang, katanya tidak tertumpu kepada para pelajar di bandar sahaja malah menembusi kawasan luar bandar dan pedalaman.

Jurang pendidikan akan kita kecilkan atau kalau dapat dihapuskan supaya setiap warganegara berpeluang mendapat pendidikan sempurna dan berkualiti,” tegasnya.

Datuk Razali juga menegaskan bahawa Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang konprehensif adalah landasan untuk melahirkan modal insan berkualiti seperti yang dicita-citakan untuk mencapai matlamat Wawasan 2020.


Free Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Powered by Blogger and Supported by Lincah.Com - KIA Cars